IPOH – Pas Perak menyangkal tuduhan kononnya mereka menerima sebidang tanah yang diberikan oleh kerajaan kepada parti itu dalam tempoh 2008 hingga 2018.
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, kenyataan Adun Keranji, Chong Zhemin pada sesi perbahasan sebelum ini bahawa Pas Perak menerima tanah seluas 16,364 meter persegi sebagai fitnah dan berniat jahat.
Beliau berkata, berdasarkan carian yang dibuat di Pejabat Tanah dan Galian Perak mendapati tuduhan itu tidak berasas kerana ia bukan tanah kurniaan kerajaan negeri sebaliknya hanya penukaran hak milik individu kepada Pas Cawangan Langkap yang tidak sampai 0.4 hektar.
“Ini fitnah berterusan yang sengaja dibuat untuk memburukkan Pas. Keranji sengaja gunakan dalam unit meter persegi menunjukkan seolah-olah jumlahnya banyak sedangkan ia hanya empat ekar (1.6 hektar). Skala yang digunakan mengelirukan kerana sepatutnya dinyatakan dalam ekar atau hektar.
“Jadi kami minta agar kenyataan ini ditarik balik kerana tidak langsung berasas,” katanya dalam sidang media di Bilik Sidang Media Dun, di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki; Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri.
Menjelaskan mengenai penukaran hak milik tanah itu, Razman berkata, keluasan asal tanah tersebut sebanyak 1.6 hektar dikongsi lima individu pada 1969.
Katanya, namun pada 2012, berlaku pindah milik salah seorang pemilik tanah yang memberikan sebahagian kecil tanah tersebut kepada Ketua Cawangan Pas Cawangan Langkap dengan beberapa individu lain.
Sementara itu, Mohd Akmal mencabar Zhemin mengulangi kenyataan itu di luar Dewan agar tindakan undang-undang boleh diambil ke atas tuduhan itu.
Zhemin dalam sesi perbahasan pada Khamis lalu mendedahkan kerajaan negeri meluluskan beberapa hak milik tanah kepada Umno, MCA, Gerakan dan Pas dalam tempoh 2008 hingga 2018.