KUALA LUMPUR — Pahang membayangkan bakal mengikut langkah Terengganu mengenakan hukuman sebat ke atas pesalah berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata perkara itu kini dalam perbincangan memandangkan pelaksanaan hukuman tersebut memerlukan penelitian mendalam.
Beliau berkata ia adalah wajar dan sokongan harus diberi bagi menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang membendung amalan LGBT.
“Kita menyokong (sebat) sebab ia melambangkan keindahan Islam, tapi masih belum diputuskan lagi…kita sedang melihat perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kembara Merdeka Hijrah 2018 di perkarangan pejabat JAIP di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan pasangan lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun masing-masing disebat enam kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta, pada 8 April lepas.
Hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia itu dipercayai yang pertama seumpamanya di negeri tersebut.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata penguat kuasa agama di negeri ini masih meneruskan usaha dakwah kepada golongan kecelaruan jantina termasuk mak nyah yang dimulakan sejak enam tahun lalu.
“Setakat ini, kita ada kumpulan dari JAIP yang melaksanakan pelbagai aktiviti bersama Persatuan Insaf bagi mendekatkan golongan itu dengan Islam seterusnya membantu mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Selain itu, JAIP juga sedang merangka sebaran kesedaran awam dalam menghindari LGBT melalui termasuk mewujudkan papan tanda di seluruh negeri.
“Kita ada papan tanda berkenaan peringatan jauhi maksiat…dan kita tambah papan tanda berkenaan LGBT.
“Kita akan sampai ke peringkat pelaksanaan (hukuman) juga nanti jadi ia (dakwah) akan terus dilaksana sebagai peringatan kepada golongan terlibat menghentikan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah,” katanya. — Bernama