KUALA LUMPUR ― Sebuah kafe memberi alasan ia menghadapi “masalah sistem harga” menyebabkan makanannya lebih mahal selepas tiada lagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai semalam.

Pengurus operasi La Bodega di Bangsar memberi alasan demikian ketika diperiksa penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam.

“Perbezaan harga pada resit tersebut disebabkan terdapat sedikit masalah pada sistem harga yang diselaraskan oleh pihak ibu pejabat La Bodega,” kata kementerian dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Resit di media sosial menunjukkan harga pada 25 Mei lalu RM44.34 tanpa GST tetapi harga baru semalam RM53 tidak termasuk caj perkhidmatan.

Susulan itu, penguatkuasa KPDNKK merampas buku menu dan resit La Bodega di satu pusat beli-belah itu untuk semakan dan siasatan lanjut.

Notis juga dikeluarkan agar kafe tersebut mengemukakan dokumen berkaitan ke pejabat KPDNKK dalam tempoh 5 hari bekerja dan memberi penjelasan.

Pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa setelah resit makanan La Bodega tersebar di media sosial yang menunjukkan harganya lebih mahal.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.