PETALING JAYA: NGO pro Barisan Nasional (BN) hari ini membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mengingatkan parti itu supaya tidak membuang masa mempertahankan Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata jika Umno benar-benar mahu bangun dan menawan kembali Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), mereka tidak boleh memingirkan Najib kerana parti itu akan dihukum Orang Melayu.

“Jika Umno menganggap perjuangan Datuk Seri Najib di mahkamah adalah perjuangan peribadi yang berhempas pulas seorang diri, Umno akan ditolak oleh orang Melayu sebagai parti yang tiada prinsip dengan perjuangan tanpa ‘substance’.

“Anda tidak boleh menanggalkan kasih sayang di hati insan, kerana setiap insan ada jiwa yang hidup. Jiwa insan inilah yang menghidupkan Umno.

“Empirical Malaysia dengan ini menolak sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Annuar bahawa Umno akan meneruskan perjuangannya dengan meninggalkan Najib sebagai beban yang tidak akan dipikul oleh Umno,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata kenyataan Annuar tidak layak dan bukan mewakili suara akar umbi Umno walaupun beliau sebagai setiausaha agung.

Katanya, perjuangan Umno sebati dengan jiwa orang Melayu yang menolak sikap membenci orang lain apabila tidak lagi berkuasa.

Sebelum ini, Annuar menyifatkan Najib yang kini berdepan 7 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebagai “beban” yang tidak lagi boleh dipikul Umno.

“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib.

“Kami dalam Umno tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau (Najib),” katanya memetik laporan media.

Mengulas lanjut, Anina berkata Umno tidak akan bangkit semula dengan memingirkan Najib yang menjadi mangsa penganiayaan.

“Tujuh pertuduhan ke atas Najib bukan hukuman bersalah ke atas dirinya. Ianya semata-mata perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpaksa diteruskan dalam usahanya untuk memadam jejak tipu muslihatnya dalam menjatuhkan Najib.

“Dr Mahathir menyangkakan orang Islam dan Melayu akan mengorbankan seorang insan bernama Najib demi ‘survival’ bangsa Melayu dengan menyokong PPBM yang hari ini lemas dan kuasa perdana menteri berada di halkumnya,” katanya.

Anina berkata majoriti ahli Umno masih bersama Najib kerana dasar kepimpinan yang ditunjukkannya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.