Juri program realiti TV America’s Got Talent Melanie Brown yang lebih dikenali sebagai Mel B mengakui mengalami ketagihan alkohol dan seks.
Penyanyi kumpulan Spice Girls itu juga berkata mulai September depan beliau akan mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi bagi menangani ketagihannya, lapor thesun.uk.
“Enam bulan terakhir ini saya lalui keadaan yang sukar,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Selain ketagihan alkohol, rakan baiknya Rusty Updegraff mendakwa beliau mempunyai “kegilaan seks” dan tidur dengan tiga lelaki dalam sehari selepas bercerai dengan Stephen Belafonte.
Mel B yang kini sedang menerbitkan buku biografi bertajuk Brutally Honest dengan seorang penulis berkata, proses penerbitan buku itu memerlukannya mengingat kembali pengalaman buruk yang pernah dialaminya sebelum ini.
“Rasanya trauma apabila mengingat kembali hubungan yang teruk dan emosi serta menghadapi banyak masalah besar dalam hidup saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Mel B turut mengakui tabiat meminum arak bagi melupakan masalah dan meredakan tekanan emosi yang dilalui.
“Terkadang susah mengurus emosi. Namun, masalahnya bukan tentang seks atau alkohol, tetapi ada yang lebih dari itu,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyedari sudah tiba masanya bagi mencari pertolongan memandangkan keadaannya semakin kritikal.
“Tak ada siapa yang lebih mengenali saya, melainkan diri saya sendiri. Tapi saya dah cuba atasinya, dalam beberapa minggu ini saya akan melalui program pemulihan,” katanya.
Mel B turut mengakui tidak ragu bercakap secara terbuka tentang masalah mental yang dialaminya, sekurang-kurangya ia akan memberi inspirasi kepada orang lain.
Beliau kini bertekad menjadi ibu lebih baik demi tiga anaknya, Phoenix (19), Angel (11), dan Madison (6).