PERSELISIHAN faham akibat masalah hutang dan mabuk dipercayai menjadi punca pergaduhan dua rakan yang berkahir dengan kedua-duanya maut di Kampung Koh, Sitiawan, malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang ditembak menggunakan senapang patah dan seorang lagi kemudian disyaki menembak diri sendiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, kes tembak menggunakan senapang patah itu berlaku di tempat letak kereta di hadapan kedai makan kira-kira 11 malam tadi.
Menurutnya, mangsa lelaki, 66, yang berasal dari Pekan Gurney, Sitiawan ditembak di kaki dan tangan manakala suspek yang menembak lelaki itu berusia 62 tahun.
“Mangsa dan suspek minum bersama di kedai makan dan berlaku selisih faham hingga suspek menembak ke arah kaki mangsa.
“Di hadapan kedai berkenaan mangsa kemudian ditembak lagi beberapa das. Dipercayai mereka minum minuman keras dan mabuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yahya berkata, suspek kemudian melarikan diri dan berdasarkan maklumat diperoleh, suspek turut melarikan pistol milik mangsa.
“Suspek kemudiannya dipercayai menembak diri sendiri dalam kenderaan yang ditemui beberapa kilometer dari tempat kejadian.
“Semakan mendapati mangsa dan suspek mempunyai lesen senjata api,” katanya.
Menurutnya, susulan kejadian itu mangsa dibawa ke HospitalSeri Manjung dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia sebaik sampai di hospital.
Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang perniagaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan mayat suspek dan mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Peramisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk dibedah siasat kira-kira 2 petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman dijangka mengadakan sidang media berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 3.45 petang nanti.