Selepas kecaman demi kecaman dilemparkan ke atas personaliti media sosial, Faiz Roslan gara-gara memuat naik video parodi ‘tidak senonoh’, anak muda ini tampil mempertahankan diri.
Faiz yang mempunyai lebih 369,000 pengikut di laman Instagram itu berkata, dia tidak setuju dengan cara seorang selebriti tempatan yang membuat teguran berbaur ugutan kepadanya melalui Twitter.
Baca: ‘Tergamak kau cemarkan bulan Ramadhan dengan parody yang hina’ – Da’i Wan
“Saya cuma ingin menegur sedikit tidak mahu sebut nama lah, mungkin dia artis, penyanyi, pelakon.
“Tapi cara awak tegur saya di Twitter seperti mengugut saya, seperti nak pukul.
“Sedangkan mak saya tidak pernah memukul saya, siapakah anda nak berbuat demikian?,” kata Faiz menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram pada Sabtu.
Faiz yang mengakui kesilapannya menghasilkan video parodi tersebut turut memohon maaf kerana berasakan mungkin rakaman itu salah dan dimuat naik pada waktu yang tidak sesuai.
Remaja itu sudah menetapkan video tersebut kepada mod arkib di semua platform laman sosial termasuklah YouTube, Facebook dan Twitter.
Personaliti media sosial itu meminta agar mana-mana pihak yang memiliki video tersebut agar memadamkannya biarpun pada asalnya dia dan rakan-rakannya yang membuka ‘aib sendiri’.
“Walaupun kami membuka aib sendiri, tidak perlulah anda semua sebar video tu.
“Kepada yang masih nak buka cerita pasal video berkenaan, terpulang. Cuma di bulan baik ini (Ramadan), tidak perlulah nak membenci atau membuka aib sesama manusia,” ujarnya.
Kenyataan Faiz tersebut dipercayai ditujukan kepada seorang pelakon lelaki yang sering membawa watak antagonis kerana secara terang-terangan menyelar perbuatannya itu.
Sebelum ini, Faiz kembali mencetuskan kontroversi menerusi video parodi terbaharu yang menunjukkan dirinya beraksi umpama perempuan.
Dengan tarian yang keterlaluan dan berimej seksi, Faiz bersama dua lagi rakannya melakukan gerak bibir (miming) untuk lagu Lagi Syantik, nyanyian Siti Badriah.
Lebih mengejutkan, video berkenaan dimuat naik di laman sosial Instagram milik Faiz pada 1 Ramadan, hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa.
Video tersebut menerima kecaman netizen, malah turut ditegur pendakwah muda, Da’i Wan menganggap Faiz tidak mahu mendengar nasihat berhubung tindakannya.