Tan Sri Rafidah Aziz meminta rakyat untuk “melupakan” janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) untuk memberi ruang kepada kerajaan baru berjalan dengan baik.
Beliau berkata ini kerana perubahan positif tidak akan berlaku segera.
“Jika kita lupakan tentang (tempoh) 100 hari, kita boleh benarkan kerajaan untuk berjalan dengan baik. Sangat penting untuk rakyat faham, semua (langkah) ini tidak boleh terjadi segera, tiada ‘tongkat sakti’ untuknya.
“Kita perlu bersikap wajar, sepuluh tahun diperlukan untuk semua (masalah negara) ini terjadi dan (sementara) kita tak mahu ambil masa sepuluh tahun (untuk membaikinya), kita juga tidak mahu hanya 100 hari.
“Kita tidak mahu sebarang reaksi tak dijangka (knee-jerk),” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Antara sepuluh janji 100 hari dalam manifesto PH adalah memansuhkan GST, memansuhkan tol, mengembalikan subsidi petrol dan penangguhan pembayaran hutang PTPTPN kepada peminjam yang berpendepatn kurang RM4,000.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mengakui sebahagian janji jangka pendek ini mungkin ditangguh berikutan hutang negara RM1 trilion.
Tiga langkah pemulihan
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencadangkan tiga langkah penyelesaian bagi mengukuhkan kembali ekonomi negara.
Beliau berkata tiga langkah ini perlu dilaksanakan serentak.
“Pertama adalah pemulihan, untuk isu seperti 1MDB dan masalah hutang kita.
“Seterusnya memperbetulkan kesalahan. Ia perlu dilakukan bukan?
“Ketiga adalah merancang ke hadapan berdasarkan apa yang kita ada sekarang,” katanya lagi.
Rafidah yang merupakan pensyarah ekonomi sebelum menyertai politik berkata langkah pertama dan kedua perlu disegerakan sekarang, manakala langkah ketiga lebih kepada pendekatan jangka panjang.
“Sesetengahnya sudah perlu dilakukan sekarang…(Tetapi kita juga perlu) melihat kepada sistem itu sendiri; sistem yang sebahagian daripada undang-undang dan peraturan, sebahagian daripada pentadbiran.
“Ini untuk mengenalpasti di mana bahagian yang (sebelum ini) dipintas atau diabaikan dengan mudah,” katanya.
Tedahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan agenda utamanya adalah memperbaiki ekonomi negara.
Sebaik saja mengangkat sumpah, beliau menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan diketuai bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin untuk memberi cadangan kepada kerajaan dalam soal reformasi ekonomi.
Selain itu, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) – diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk KC Vohrah – juga ditubuhkan untuk mengkaji dan memberi cadangan tentang pembaharuan institusi negara.