Bergelar ‘abah’, seorang bapa meluahkan kerinduannya terhadap dua cahaya mata yang dijemput Ilahi sekaligus, selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Kedua-dua anak perempuannya meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Nur Nailah, 2, dan adiknya, Nur Afina yang berusia 11 bulan maut selepas tercampak keluar daripada kereta jenis Honda City dinaiki bersama ibu bapa mereka di Jalan Beserah, berhadapan Petronas Bukit Pelindung di Kuantan.

Dilaporkan, Mohd Helmiardi cedera di bahagian dada manakala isterinya, Nor Yumni, patah kedua-kedua belah kaki dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Luahan sayu Mohd Helmiardi menerusi Facebook miliknya membuatkan netizen sebak dan mengalirkan air mata.

Puteri-puteriku, damailah kamu berdua di sana. Bermainlah, gelak ketawalah bersama-sama di dalam syurga puteri-puteriku. Allah SWT lebih sayangkan kamu berdua, Allah SWT telah memanggil kamu berdua puteriku.

Sejak akhir-akhir ini, abah perasan banyak masa kakak bermesra bersama dengan adik dan adik pula kelihatan sangat gembira sejak kebelakangan ini bila bermain dengan kakak.

Adik selalu minta abah dukung adik setibanya abah di rumah setelah pulang kerja, kakak pula selalu buat abah terperanjat dengan jeritan untuk menyakat abah setelah abah melangkah ke dalam rumah setelah penat berkerja.

Tetapi abah tidak pernah perasan yang semua itu bakal berakhir malam semalam 17/8/18.

Puteri-puteriku, abah dan ibu sangat sayangkan kamu berdua, rindu akan tawa sendamu, rindu jeritan kakak, rindu gurauan suara adik yang meminta makanan jika lambat disuap ke mulut. Kakak, abah rindu celoteh kakak yang suka bercerita pada abah dan ibu dan soalan-soalan yang selalu kakak tanya pada abah dan ibu, abah dan ibu sangat-sangat rindu pada kamu berdua.

Baru satu hari kamu berdua meninggalkan kami, tapi perasaan ini terasa sangatlah rindu, telinga ini bagai terdengar akan suara kamu berdua puteri-puteriku, mata ini selalu terbayang-bayang akan pergerakan mu yang selalu bermain-main di dalam rumah, abah dan ibu tidak akan pernah lupa pada kakak dan adik, kakak dan adik damai ah di sana.

Allah telah memanggilmu, pergilah dengan tenang, Allah telah meminjamkan kamu berdua kepada ibu dan abah sekadar waktu ini sahaja, abah Redha.

Puteri-puteriku, carilah abah dan ibu jika kamu tidak bertemu abah dan ibu di Syurga. Carilah sehingga jumpa, tariklah abah dan ibu masuk ke dalam syurga Allah SWT, di mana tiada tempat yang kekal melainkan di syurga mu Ya Allah.

Ya Allah tabahkan hatiku dan isteriku, tanamkan perasaan redha kepada kami dengan ketentuan dan takdirmu ini. Hadirkan sifat sabar di dalam diri kami Ya Allah. Sebaik-baik perancangan adalah perancanganmu Ya Allah dan ada kemanisan di sebalik kepahitan. InsyaAllah.

Nur Nailah Al Farafisha dan Nur Afina Safiya dalam kenangan Abah dan Ibu.

Dari,
Mohd Helmiardi Bin Nosaha

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.