Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletak jawatan secara terhormat untuk mengelak daripada menerima tindakan dipecat yang memalukan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim mengingatkan Apandi bahawa beliau secara “tidak senonoh” masih memegang jawatannya selama tiga minggu sejak pilihan raya umum 9 Mei, lalu.
Menurut Lim, keputusan bersejarah pada hari tersebut membuktikan rakyat bukan sahaja tiada keyakinan terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, malah Apandi sendiri selaku peguam negara.
“Kebuntuan perlembagaan bermula apabila pertama sekali dia tidak sepatutnya dilantik sebagai AG pada Julai 2016,” katanya.
Lim adalah anggota parlimen DAP ketiga yang meminta Apandi meletak jawatan, selepas Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) dan Gobind Singh Deo (Puchong).
Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan pada 23 Mei bahawa kedudukan Apandi tidak boleh dipertahankan.
Lim berkata Apandi tidak harus memperalatkan kelemahan perlembagaan untuk terus berkhidmat, sebaliknya tanpa berlengah memohon peletakan jawatannya.
“Apa yang Apandi fikir dia akan dapat dengan memanjangkan “kebuntuan” perlembagaan sedemikian?” soalnya.
Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik oleh Najib bagi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail pada 28 Julai 2015 dengan kontrak selama tiga tahun.
Pada tahun 2016, beliau membersihkan bekas perdana itu daripada salah laku berhubung kemasukan berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya, yang mana siasatan antarabangsa mendapati ia berasal dari 1MDB.
Bagaimanapun, Najib mendakwa wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Saudi dan menafikan salah laku atau mengambil wang awam untuk keuntungan peribadi.