KUANTAN – Kelibat seorang lelaki memakai serban berjalan sekitar bandar ini sambil memakai sekeping kadbod yang digantung di lehernya menarik perhatian orang ramai.
Kadbod yang tertera tulisan ‘topup ada dijual di sini’ itu membuatkan ada sesetengah orang melemparkan pandangan sinis, tidak kurang juga menyoalnya dengan pelbagai soalan.
Namun bagi Mohd Hasyir Md Yusof, 29, dia tidak pernah berasa malu menjual kad tambah nilai prabayar telefon secara bergerak dengan hanya berjalan kaki sebaliknya berasa puas kerana rata-rata maklum balas yang diterimanya sangat positif.
Katanya, dia memulakan ‘perniagaan’ itu selepas beberapa kali bertukar kerja akibat penyakit sawan yang dihadapinya sejak kecil.
“Penyakit sawan yang menyerang tidak kira masa menyebabkan saya sukar untuk kekal dengan satu pekerjaan, tidak sedap hati pula apabila banyak menyusahkan majikan,” katanya.