ALOR SETAR – Tindakan BN Perlis menghantar 11 nama baharu, termasuk nama Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai calon menteri besar kepada Istana menunjukkan kejahilan BN berpolitik.
Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini menunjukkan pucuk pimpinan BN Pusat, khususnya Umno gagal memberikan panduan selain hilang kawalan ke atas BN Perlis.
Menurutnya, ia memberi imej yang sangat tidak baik terhadap Umno yang dilihat seolah bercelaru dan hilang hala tuju.
“Ramai sedia maklum, Umno mempunyai Biro Perlembagaan dan Perundangan diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Bawah biro ini, terdapat Unit Perundangan dikoordinator oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Razali Ibrahim.
“Umno juga mempunyai Penasihat Undang-Undang, Datuk Hafarizam Harun, selain ramai Ahli Majlis Tertinggi yang berlatar belakang perundangan seperti Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Azalina Othman,” katanya.
Kamarul Zaman mempersoal peranan mereka yang dilihat seakan tidak menasihati Umno Perlis yang berdepan situasi sukar.
“Kalau bukan pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Hishammuddin selaku pemangku Timbalan Presiden menasihat atau menegur, takkan tiada seorang pun pemimpin lain boleh beri pendapat yang betul dalam isu ini,” katanya.
Menurutnya, mungkin BN Perlis perlu diingatkan bahawa pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dibuat secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis oleh Raja Perlis.
“Sebelum BN Perlis hantar nama baharu calon menteri besar, perlu dibuktikan menteri besar sedia ada tak lagi dapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Negeri (Perkara 39 (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis). Selagi tak dibuktikan, dan selagi Azlan tak meletak jawatan secara sukarela, isu calon baharu tidak berbangkit,” katanya.
Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) ini berkata, kejahilan BN Perlis terserlah apabila turut menghantar nama Shahidan dan Zahidi yang merupakan Ahli Parlimen sebagai calon menteri besar.
“Zahidi tegaskan, Perkara 39(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis kononnya memberi hak kepada Raja Perlis melantik sesiapa sahaja sebagai menteri besar termasuk kalangan Ahli Parlimen. Pelik kerana sangat jelas Perkara 39 (2)(a), menteri besar wajib seorang Adun,” katanya.
Merujuk Perkara 39 (4), Pada masa melantik seorang menteri besar maka Raja boleh dengan suka hatinya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam Undang-Undang Tubuh ini yang mengehadkan haknya memilih seseorang menteri besar, jika pada pendapatnya mustahak berbuat demikian untuk memenuhi syarat-syarat dalam Perkara ini.
Kamarul Zaman berkata, maksud frasa berkenaan adalah Perkara 37(2), meninggalkan syarat ‘tiada boleh diangkat mana-mana orang menjadi menteri besar melainkan ia daripada bangsa Melayu dan beragama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah’.
Menurutnya, rakyat pasti curiga kerana pemimpin yang paling beria mempersoalkan pelantikan Azlan selain mahu melantik menteri besar baharu ialah mereka yang tidak mempunyai locus standi untuk berbuat demikian.
“Malangnya, mereka yang bukan Adun, iaitu Ahli Parlimen yang mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis langsung tak punya suara dalam pelantikan itu, mereka pula yang lebih sudu dari kuah,” katanya.
Tambahnya, perkembangan ini sebenarnya mengukuhkan kebenaran titah Raja Perlis, mengenai punca sebenar mengapa Baginda berkenan melantik Azlan dan menolak nama dikemukakan BN Perlis.
Tak kan la baru tahu yang BN ni semua bahlul2 … masuk politik bukan nak tolong rakyat, tapi semua nak balun duit rakyat