IPOH: Tindakan undang-undang terhadap pihak kontraktor penyediaan makanan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping akan diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, perkara itu akan dibawa ke mahkamah susulan kegagalan kontraktor berkenaan menjaga kebersihan makanan hingga mengakibatkan dua insiden keracunan makanan pelajar sekolah terbabit.

Menurutnya, kedua-dua kes keracunan pada 12 Julai dan 1 Ogos lalu adalah membabitkan kontraktor yang sama dan kontrak syarikat berkenaan sepatutnya tidak disambung namun sebaliknya yang berlaku.

“Pihak MARA memaklumkan tidak dapat menamatkan perkhidmatan syarikat berkenaan kerana ia baru dilanjutkan kontrak sehingga enam bulan bermula 31 Julai lalu.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini kerana ia membabitkan nyawa dengan MARA meletakkan kontrak lebih penting dan bukannya keselamatan anak-anak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sivanesan berkata, hasil siasatan daripada kes pertama mendapati faktor pencemaran semasa penyediaan dan pengendalian makanan serta kebersihan dapur yang kurang memuaskan menjadi punca kejadian itu.

“Ujian makmal mendapati 17 daripada 33 sampel makanan yang diambil adalah tercemar manakala 14 sampel calitan pada tangan pengendali makanan juga didapati tercemar dengan ‘staphylococcus coagulase positive’ dan ‘Bacillus cereus’.

“Bagi kes kedua pula laporan makmal masih belum diperoleh,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini makanan untuk pelajar di MRSM berkenaan dibekalkan oleh pembekal daripada Semanggol, dekat sini di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Kejadian keracunan makanan di MRSM Taiping berlaku pada 12 Julai lalu membabitkan 40 pelajar manakala yang kedua berlaku pada 1 Ogos lalu mengakibatkan 103 daripada 593 pelajar mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.