PETALING JAYA: Kecoh di media sosial mengenai ‘kelas belajar tulisan jawi’ yang mengajar anak-anak muda terutama kanak-kanak untuk menyebut huruf dengan betul.
Menerusi satu video yang tular, seorang lelaki mempelawa golongan muda untuk mengalihkan tumpuan dari laman sosial kepada mengenal huruf jawi atau hijaiyah.
“Assalamualaikum, kepada adik-adik Tik Tok, Tumblr, Bigo dan sebagainya. Mari abang nak ajar pelajaran huruf jawi.
“Seperti yang kita belajar jawi Alif Ba Ta, di sini ada satu rahsia yang abang hendak kongsikan. Ini adalah huruf Ha, ada ‘ekor’ di situ. Ini adalah Ha ‘pedas’ bunyinya ha.
“Ini juga adalah huruf Ha, tapi ia dipanggil Ha ‘bulat’. Tapi membezakan Ha ini dan Ha itu adalah makhrajnya sahaja,” katanya menerusi video berdurasi lebih seminit itu.
‘Guru’ berkenaan turut memegang kertas putih yang memaparkan huruf Alif, Ha ‘pedas’ dan Ha ‘bulat’.
Dia kemudian menunjukkan jari hantu tangan kanannya bagi menggambarkan huruf Alif dan menggunakan dua jari tangan kirinya untuk Ha ‘bulat’.
Namun, seperti yang diketahui ramai, penggunaan jari hantu itu turut memberi isyarat lucah, dan pada masa sama pemuda berkenaan membuat aksi tidak senonoh berulang kali dengan bunyi yang berbaur seks, kononnya untuk menunjukkan bunyi Ha ‘bulat’.
Video ‘kelas belajar tulisan jawi’ itu mendapat bantahan seorang pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin yang menyifatkan ia haram dan keterlaluan.
PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, tindakan itu bercanggah dengan ilmu pengajian huruf al-Quran.
Ini kerana katanya, tulisan atau huruf jawi atau hijaiyah adalah huruf-huruf wahyu, juga bahasa Arab dan pertuturan nabi, selain bahasa al-Quran dan bahasa syurga.
“Huruf hijaiyah yang dipermainkan dengan kelucahan tanpa asas cara pemahaman perbezaan dua huruf Ha telah membawa kepada kerosakan tulisan wahyu.
“Ia merupakan satu perkara yang amat besar dan sangat dahsyat, dan kalau perkara ini tersebar dan ada dalam kalangan budak-budak yang mengambilnya sebagai bahan lawak, maka ia akan memberi kesan negatif kepada bahasa al-Quran.
“Ia akan merosakkan syiar dan merendahkan maruah agama serta memusnahkan kualiti dan keistimewaan yang ada pada tulisan al-Quran,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Mempergunakan nama ‘belajar’, PU Amin turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan melampau pemuda terbabit yang hanya menimbulkan kekeliruan masyarakat.
“Bila dia buat macam tu, bukannya orang lagi faham. Bahkan orang makin keliru mengenai apa yang dia cuba hendak sampaikan dan apa maksud sebenarnya huruf Alif, Ha yang ini dan Ha yang itu,” kata PU Amin yang banyak berdakwah kepada masyarakat khususnya membabitkan golongan muda seperti usahawan kosmetik terkenal, Safiey Ilyas.
Sehubungan itu, pendakwah muda ini meminta supaya masyarakat terutama netizen sama-sama membantu dalam menangani tindakan lucah seumpama ini daripada ia mempengaruhi anak-anak muda khususnya kanak-kanak.
Beliau berharap agar pihak berkuasa Islam di negara ini mewujudkan satu badan yang mengawal selia media sosial terhadap perkara-perkara yang melanggar hukum dan syarak, sebagaimana yang cuba dipaparkan di dalam video berkenaan.
“Saya kesal masyarakat hari ini sudah terdedah dengan perkara-perkara lucah yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Ia juga akan memberi tanggapan buruk kepada agama lain mengenai Islam,” katanya dengan nada kesal.