Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjangka program air percuma buat penduduk negeri itu bakal tamat, susulan persetujuan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).
Beliau mengulas persetujuan SPLASH secara prinsipal untuk diambil alih oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan nilai RM2.55 bilion.
Khalid mendakwa pembelian SPLASH dengan nilai itu menyebabkan penduduk negeri itu membayar lebih sepuluh kali gandar berbanding apa yang ditawarkan pentadbirannya pada 2013.
“Strategi kerajaan negeri hari ini telah memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan dan pampasan yang berlebihan. Pada masa sama ia telah meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.
“Saya percaya kerajaan hari ini (akan) mengkaji semula atau mungkin menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor,” dakwanya di Facebook semalam.
Ia bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Amiruddin Shari bahawa transaksi itu tidak membabitkan sebarang dana daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata Air Selangor membuat bayaran awal sebanyak RM1.9 bilion dan bakinya secara ansuran selama sembilan tahun.
“Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah, sekali gus memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat,” katanya.
Isu penstrukturan industri air negeri itu merupakan antara kontroversi di penghujung pentadbiran Khalid dan menurutnya antara sebab beliau didesak oleh PKR untuk meletakkan jawatan pada 2014.
Khalid berkata lagi, beliau tidak terkejut dengan pengumuman itu kerana sejak beliau menjadi menteri besar lagi “pimpinan PKR mahukan tawaran tinggi diberi kepada SPLASH”.
“Saya doakan rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan besar ini,” katanya lagi.
Pada 27 Julai lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata pengambilalihan SPLASH dengan nilai RM1.9 bilion, seperti dilaporkan akhbar The Straits Times, belum muktamad dan hanya akan selesai pada 10 Ogos ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga menafikan Selangor akan membayar RM2.7 bilion untuk mengambilalih SPLASH dan berkata rundingan masih lagi berjalan.