SUNGAI BESAR – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kerjasama dengan polis luar termasuk Interpol sebagai membuang masa.
Jamal berkata, pihak Interpol tidak perlu melayan kerjasama itu kerana apa yang beliau lakukan bukanlah satu jenayah yang boleh mengancam dan mengganggu-gugat keselamatan awam.
“Ia hanyalah merupakan kesalahan kecil yang saya lakukan contohnya, seperti memprotes pesta arak dengan memecahkan botol arak, di Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) menggunakan penukul iaitu kesalahan tersebut hanya didenda tidak melebihi RM400.
“Manakala bagi kesalahan-kesalahan lain pula contohnya, mengadakan perhimpunan haram hanya didenda RM100,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman suara yang dihantar ke dalam aplikasi WhatsApp kumpulan media.
Bagaimanapun beliau memberitahu, perkara itu terpulang kepada pihak kerajaan untuk meminta bantuan Interpol atau pun kerjasama daripada negara luar.
“Saya masih lagi berada di dalam negara dan Ketua Pengarah Imigresen pun telah menyatakan saya belum lagi dikesan di mana-mana pintu keluar negara.
“Saya tidak ada masalah di mana pun mereka nak katakan saya berada yang paling pentingnya, saya tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.
Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.