Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui kereta Ferrari model 458 Italia yang terbakar di Kilometer 39.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah dari USJ ke Plaza Tol Sunway, petang Khamis lalu adalah miliknya.
Semalam, menerusi Instagram miliknya, Aliff memuat naik video meluahkan rasa sedih dan menangis apabila mendapat tahu kereta kesayangannya itu seratus peratus musnah dijilat api.
Difahamkan, kereta mewah terbabit dipandu oleh individu lain seorang lelaki warga Australia berusia 29 tahun yang menyewa kereta tersebut. Bagaimanapun, pemandu itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Sebelum ini Aliff pernah memberitahu kereta Ferrari itu tidak seronok untuk dipandu kerana tempat duduknya yang tidak selesa, bunyinya yang bising serta cukai jalan yang mahal.
Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati di atas ujian itu dan ada yang mengatakan mungkin ada hikmah disebalik kejadian kerana bukan beliau yang memandu kereta tersebut sewaktu kejadian.