PETALING JAYA: Genap dua minggu lagi sesi pendaftaran pelajar baharu akan bermula, namun hanya Allah yang tahu perasaan pelajar yatim piatu ini yang begitu berhasrat untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Pernah melepaskan tawaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) selepas meraih keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia kerana kekangan kewangan, Mohamad Farid Mustaffa terpaksa ‘melengahkan’ impiannya dengan menyambung persekolahan ke Tingkatan Enam.

Dua tahun kemudian, sekali lagi anak keempat daripada lima beradik itu berjaya mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Namun, kehidupannya yang dihimpit kemiskinan setelah pemergian orang tuanya menjadikan impian tersebut hampir terpaksa dilupakan.

Guru pelajar berkenaan, Abdul Latif Salleh berkata, dia ingin melihat remaja itu mencapai cita-citanya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat kedoktoran kerana Mohamad Farid merupakan pelajar yang sangat pintar.

Farid meraih 7A dalam peperiksaan SPM dan PNGK 3.58 dalam peperiksaan STPM.

“Mungkin kerana latar belakang dia… ibu sudah meninggal dunia sebelum peperiksaan dan bapa pula pergi selepas dia tamat STPM, jadi dia tiada tempat bergantung selain kakaknya yang sudah berkahwin.

“Di sekolah dia seorang pelajar yang sangat pendiam, tapi suka membantu guru-guru. Saya nak tengok dia masuk universiti, kalau boleh sampai dapat ijazah kedoktoran,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Kata guru Sejarah yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sik di Kedah selama 26 tahun itu, lokasi rumah Mohamad Farid yang terletak jauh daripada jalan utama juga menyukarkan orang luar untuk tahu mengenai keadaan yang menimpa dirinya.

Menurut Abdul Latif, pelajarnya yang ditawarkan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi di Universiti Utara Malaysia itu memerlukan wang yuran pengajian berjumlah RM2,133 untuk mendaftar pada 4 September depan.

Kisah mengenai remaja dari Kampung Lubuk Besar, Sik itu mendapat perhatian netizen selepas posting mengenainya dimuat naik oleh pengguna Facebook Noor Asmahan Ibrahim pada Isnin.

Posting tersebut tular di media sosial sehingga menerima lebih 2,700 perkongsian dan mendapat lebih 1,800 tanda suka.

Kediaman pusaka kedua arwah ibu bapa Mohamad Farid.

Susulan itu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar Kelab Anak-Anak Sik Kedah yang prihatin dengan nasib Mohamad Farid mengadakan lawatan ke rumahnya untuk menyampaikan sumbangan.

Setiausaha kelab, Nasri Saad berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu pelajar berkenaan selepas dihubungi sendiri oleh guru sekolah SMK Sik.

“Daripada segi yuran itu mungkin ia boleh dilunaskan menggunakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), jadi inisiatif kami adalah menyebarkan mengenai adik Farid untuk meminta sumbangan daripada orang ramai.

“Kami tumpukan untuk kutip dana bagi memberikan dia wang saku dan keperluan mendaftar di universiti nanti,” ujarnya.

Pada lawatan tersebut, Pegawai Daerah Datuk Bukhari Abdullah turut hadir menghulurkan sumbangan peribadi beliau kepada Mohamad Farid.

Bagi orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Mohamad Farid pada nombor 02-0840-2054-9200.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.