SUNGAI BULOH – Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan satu mesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan kaedah terbaik bagi menutup premis menjual arak haram di sekitar negeri ini dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, antara agensi-agensi yang akan terlibat adalah Kastam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Kesihatan.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta misalnya Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di salah sebuah premis yang didapati menjual arak yang menyebabkan kematian 15 individu di sekitar Selangor di Kampung Baru Sungai Buloh di sini hari ini.

Anggota Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam menyita premis menjual arak yang mengakibatkan kematian 19 orang.

Sze Han menambah, pada semalam juga, pihaknya telah menutup tiga premis yang berselindung di sebalik kedai makan untuk menjual arak yang didapati menyebabkan kematian berbelas individu itu.

“Ketiga-tiga premis itu dibina di atas tapak pertanian dan sehingga masa kini, kesemua pemiliknya masih lagi dikesan.

“Mereka juga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan tindakan tegas akan diambil untuk menutup kesemua premis yang didapati menjual arak secara haram di negeri ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.