KUALA LUMPUR – Syarikat China bakal dipelawa untuk melabur ke Malaysia dengan menggunakan tenaga kerja dan sumber tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau sendiri akan menjemput syarikat-syarikat tersebut bagi melakukan pelaburan dalam kapasiti yang produktif.

“Keutamaan saya adalah menjemput syarikat China untuk datang dan melabur dalam Malaysia.

“Pelaburan dalam kapasiti yang produktif di negara ini dengan menggunakan tenaga kerja dan sumber tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Kepemimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Jelas Dr. Mahathir, kunjungannya ke China pada Ogos depan juga bertujuan memantau hasil lawatan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang berkunjung ke negara tersebut, dua hari lalu.

“Daim telah membawa beberapa perkara penting mengenai kontrak. Kita tidak mampu hendak meminjam wang yang banyak, kita cuba untuk mengurangkan jumlah pinjaman.

“Jika tidak, negara akan berdepan dengan bankrap, itulah perkara yang akan dibincangkan,” katanya.

Daim yang juga bekas menteri kewangan dihantar sebagai wakil kerajaan Pakatan Harapan ke China sebagai utusan khas bagi membincangkan mengenai kontrak kerajaan.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.