KUALA LUMPUR – Sebuah kelab malam yang menjadi tumpuan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Bukit Bintang di sini digempur dalam satu Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) awal pagi tadi.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, lebih 30 tahun kelab malam tersebut beroperasi dan tidak pernah diusik oleh pihak berkuasa.
Katanya, tetapi akhir-akhir ini timbul isu dalam kalangan komuniti ini telah menyaksikan perbezaan pandangan berhubung isu berbangkit tersebut.
“Kelab malam ini merupakan ‘port’ yang menjadi tumpuan mereka dan difahamkan tidak pernah diberi perhatian sama ada terlepas pandang atau sebagainya.
“Fenomena tidak sihat ini seharusnya didedahkan dan ditangani juga kerana perkara ini mendapat perhatian pelancong luar dan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut terlibat dalam operasi awal pagi tadi ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi penguatkuasa yang lain. – UTUSAN ONLINE