NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 1.187 tan bernilai lebih RM71 juta dalam serbuan di sebuah para raya di Seri Kembangan, Selasa lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, rampasan terbesar itu turut menahan lima lelaki masing-masing dua warga tempatan dan tiga warga Myanmar berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.
Menurutnya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang juga pengarah syarikat kedai runcit di Selangor pada hari sama.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas dadah jenis heroin dengan berat kasar 750 gram bernilai RM120,000 selain 1.24 batang rokok putih, satu tan tembakau, 1.5 tan tembakau kunyah serta 1.3 tan ubat-ubatan pelbagai jenis yang belum diluluskan kastam dianggarkan bernilai RM95,000 selain cukai mencecah RM1 juta.
“Kesemua barangan terlarang yang dibalut guni putih dan disorok dalam sebuah kontena yang diikrarkan sebagai barangan makanan itu dipercayai dibawa masuk dari Yangon, Myanmar melalui Pelabuhan Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di JKDM cawangan narkotik, Kampung Jijan Nilai pada Isnin.
Mengulas lanjut katanya, kesemua suspek yang ditahan reman 10 hari bermula Rabu lalu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci memandangkan sindiket itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Myanmar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.