JOHOR BAHRU – Tawaran 10 janji Kerajaan Johor dalam tempoh 100 hari pentadbiran baharu terlaksana sepenuhnya dan menjadikan satu-satunya negeri yang berjaya melunaskan semua janji-janji dibuat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan kejayaan menunaikan manifesto yang dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum mengambil alih kerajaan.

“Saya dengan rasa bangga boleh menyatakan semua janji-janji ini terlaksana dalam tempoh 100 hari dan hanya tiga inisiatif telah diputuskan perlaksanaannya 1 September depan.

“Tanda terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh exco serta penjawat awam negeri Johor terutamanya pegawai tadbir yang bertungkus-lumus memastikan semua tawaran ditepati,” katanya di Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 di Persada di sini, semalam.

Osman berkata, 10 janji tersebut mengehadkan jawatan menteri besar selama dua penggal yang dipersetujui di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan ketelusan pentadbiran terjamin dan memenuhi harapan rakyat ditunaikan.

Janji kedua ialah sistem tender terbuka yang membuka peluang sama rata bagi mendapatkan projek ataupun kerja-kerja kerajaan menjimatkan kos sekali gus mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kontraktor.

“Kerajaan juga memansuhkan kuota menegak kerajaan (KMK) dalam pengagihan rumah mampu milik (RMMJ) yang memberikan hampir 30 peratus daripada rumah ini kepada ketua-ketua parti kerajaan terdahulu untuk diagihkan kepada penyokong mereka.

“Kerajaan berpendirian bahawa pengagihan RMMJ ini perlu dilakukan secara telus dan saksama kepada semua yang berkelayakan tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik,” katanya.

Keprihatinan kerajaan turut memberikan diskaun 50 peratus tunggakan sewa PPR.

Osman berkata, tiga janji yang akan mula dilaksanakan 1 September ialah pemberian air percuma 10 meter padu yang mengenal pasti 229,307 golongan sasar kategori B40 dan pengecualian bayaran lesen penjaja di semua 16 PBT melibatkan 21,127 penjaja menerima kemudahan ini.

Ia juga melibatkan kursus perkahwinan percuma bertujuan meringankan beban bakal pasangan untuk melangsungkan perkahwinan.

“Insentif Harapan Siswa iaitu bantuan bernilai RM1,000 untuk ijazah sarjana muda dan RM500 bagi diploma kepada anak Bangsa Johor yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA atau IPTS.

“Sumbangan RM1,000 diberikan waris warga emas yang meninggal dunia dan telah mendaftar melalui Skim Takaful Warga Emas dan bilangan penerima akan ditambah,” katanya.

Kad Sihat Johor bagi golongan B40 berjumlah RM500 diberikan kepada golongan yang di bawah E-Kasih.

Janji ke-10, kursus perkahwinan percuma bertujuan meringankan beban bakal pasangan untuk melangsungkan perkahwinan.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.