Ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho, boleh pulang ke Malaysia dan menuntut Equanimity jika merasakan dirinya pemilik yang berhak ke atas kapal pesiar mewah itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Satu-satunya orang yang mahu ambil tindakan undang-undang adalah Low. Untuk ambil tindakan undang-undang, dia boleh datang dan buktikan pada kita (kapal itu) kepunyaannya.
“Ia sangat mahal, kami mahu tahu dari mana dia dapat wang dan bila kita jejak wang itu, akhirnya kita akan dapati ia dari 1MDB,’ katanya dalam sidang media di Pelabuhan Kelang, selepas menaiki kapal itu hari ini.
Beliau bersama-sama sekumpulan pengiring – termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu – membuat lawatan itu selepas mendapat kebenaran mahkamah semalam.
Baca: Equanimity tersangat mewah, tidak dibuka untuk orang ramai
Mahathir mendakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memberi jaminan kapal itu memang milik Low tetapi dibayar menggunakan wang daripada 1MDB.
“Mereka (DOJ) kata jika kita mahu simpannya, kita berhak kerana ia milik kita, dibeli menggunakan wang rakyat yang dicuri dan apabila kita akhirnya menjual (Equanimity), kita berhak ke atas hasilnya.
“Tetapi Low dakwa kapal itu miliknya. Dia boleh pulang dan tuntutnya,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, Low menerusi peguamnya dilaporkan berkata, Malaysia mendapatkan Equanimity “secara tidak sah” daripada pihak berkuasa Indonesia serta mencabuli undang-undang negara itu dan keputusan mahkamah.