Semakin hari semakin ramai yang beralih kepada pembelian secara atas talian, bagaimanapun perkhidmatan pos tetap menjadi pilihan untuk menghantar barangan jualan kepada pelanggan.
Namun, baru-baru ini kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) tular di laman sosial gara-gara rakaman yang menunjukkan beberapa pekerja membaling barangan pelanggan tanpa berhati-hati.
Klip berdurasi 10 saat itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mempertahankan tindakan kakitangan Pos Malaysia secara amnya.
Seorang netizen, Norikhwan Shafie berkata, jangan sesekali memboikot Pos Malaysia kerana pekerjanya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan pos tersebut.
“Saya tahu kerja yang sebenarnya macam mana, kalau barang tersebut adalah kaca, maka dari kaunter lagi barang yang mudah pecah akan diasingkan.
“Jadi, sesiapa yang buat status ini, mohon meninggal,” tulisnya pada ruang komen.
Sementara itu, seorang wanita yang mendakwa adalah isteri kakitangan Pos Malaysia, Azlina Aina pula berkata, suaminya terpaksa pulang sehingga lewat malam bagi menyelesaikan tugasan dan kadangkala terpaksa bekerja pada cuti umum.
“Suami saya balik pukul 10 malam, kerja lebih masa untuk selesaikan Pos Laju pelanggan… cuti umum pun bekerja.
“Barang kaca atau mudah pecah akan diletak elok-elok. Lain lah kalau tidak tulis barang mudah pecah.
“Bungkusan yang sampai bukan selori tetapi tiga kontena. Jangan asyik nak bersangka buruk dengan ‘posmen’,” ujarnya.
Manakala bagi Daisy Othman pula mencadangkan agar mereka yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Pos Malaysia agar menggunakan perkhidmatan penghantaran barang yang lain.
“Sikit-sikit viral. Tahukah ‘posmen’ Pos Laju bersungguh-sungguh nak menghantar bungkusan anda semua, sampai malam.
“Ada yang sampai jatuh motosikal dan cedera kerana pegang bungkusan dan takut ia hilang. Kalau rasa tidak memuaskan, guna la Gdex atau Skynet,” kata wanita itu.
Setakat ini, posting yang dimuat naik oleh pengendali sebuah laman Facebook pada malam Isnin itu menerima lebih 20,000 tanda suka (likes) dan mendapat 40,156 perkongsian.
Dalam pada itu, pihak Pos Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang memproses kenyataan balas berhubung perkara tersebut. – mstar