KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan agar tidak menyalahgunakan dana syarikat petroleum negara Petronas dan memberi ruang untuk syarikat itu terus berkembang.

“Saya mohon kerajaan baharu ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir yang dahulu.”

Najib berkata demikian dalam posting terbaharu di akaun Facebook miliknya hari ini ketika mengulas mengenai kenyataan bahawa pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula esok akan dibiayai dengan pembayaran dividen lebih tinggi daripada Petronas, Khazanah dan Bank Negara Malaysia.

Menurut Najib, pendekatan ini adalah rapuh (not sustainable) dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek.

“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan,” katanya lagi.

Najib berkata walaupun harga minyak dunia kini agak tinggi berbanding jangkaan dalam bajet 2018, kerajaan perlu membuat persiapan rapi sekiranya jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80 peratus yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015.

Menurutnya, Petronas ketika di zaman pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional sentiasa dipastikan tidak membayar dividen melangkaui keperluan kerajaan ketika itu.

Hal ini, ujarnya lagi, adalah bagi memastikan syarikat itu mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia.

“Hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).

“Pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei,” katanya lagi.

Najib berkata pelaburan itu berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rizab tunai Petronas yang meningkat kepada RM164.7 bilion pada akhir Mac 2018, peningkatan RM36.5 bilion berbanding RM128.2 bilion pada penghujung 2017.

Katanya lagi, peningkatan itu berikutan harga minyak yang memberangsangkan selain penerimaan bayaran daripada pelaburan Aramco Saudi bagi projek Rapid Pengerang.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.