PERALIHAN kuasa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 10 Mei lalu secara tidak langsung memberi kesan buat seluruh rakyat Malaysia.

Bahkan setiap hari ada sahaja pendedahan demi pendedahan yang dilakukan.

Ini termasuklah pendedahan mengenai dunia media yang dibuat oleh isteri kepada bekas pembaca berita TV3, Saiful Nizam Ismail iaitu Khairul Noormaaidah Zali atau Aida.

Aida yang merupakan juara program realiti Gadis Melayu terbitan TV9 pada 2009, membuka mulut mengenai perletakan jawatan suaminya yang dibuat pada tahun 2015 di Instagram dan menyifatkan “Media Itu Bersifat Dimiliki”.

Namun, Saiful Nizam enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan isterinya itu dan menyifatkan ia sebagai salah satu tindakan seorang isteri solehah mempertahankan suaminya.

“No comment. Bagi saya, seorang isteri solehah hanya akan mempertahankan suaminya tatkala suaminya dikecam dan dihina tanpa tahu hujung pangkal,” ujarnya.

Saiful Nizam, 36, mengambil keputusan meninggalkan kerjaya itu secara rasmi dengan stesen TV itu pada tahun 2015.

Saiful yang lahir daripada program Malaysian Top Host seangkatan dengan Nurul Syuhada Nurul Ain kini selesa menjalankan perniagaannya sendiri.

Tambah Saiful, dia berharap netizen berhenti mengecam rakan seperjuangan kerana mereka semua juga hanya menjalankan tugas.

“Cukuplah orang ramai, jangan hanya tahu kecam TV3, kecam kawan-kawan saya kerana semuanya hanya menjalankan tugas.

“Kesian kawan-kawan saya sebab tindakan saya (berhenti kerja) atas dasar peribadi, bukan atas dasar politik,” tegasnya.

Sebelum ini, Aida menerusi posting di Instagram mendedahkan dia pada mulanya enggan ambil pusing dengan apa yabg diperkatakan orang, namun dia juga menerima tempias apabila ada yang memerlinya walaupun kesalahan ingin ditujukan kepada Saiful.

Malah dia sendiri berasa menyampah melihat mimik muka suaminya ketika membaca berita dan berpendapat orang lain yang menonton juga begitu.

“Suami saya pernah menangis ketika pulang ke rumah setelah selesai menyampaikan berita berkaitan Tun Mahathir serta Proton.

“Ketika itu katanya, sudah tiba masanya mendapatkan rujukan daripada Ustaz mengenai sesuatu berita yang tidak tahu kesahihan berita tersebut dan tindakan itu dianggap menyebarkan fitnah.

“Setelah diteliti, suami putuskan untuk berhenti serta merta dan percaya rezeki ada di mana-mana dan melihat bahawa keputusan yang diambil adalah sangat tepat,” ceritanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.