LIPIS: Penduduk di sekitar bandar Kuala Lipis di sini, gempar apabila hujan air batu melanda kawasan itu kira-kira 20 minit, petang tadi.
Kejadian pukul 6.45 petang itu pada awalnya mengundang panik dalam kalangan orang ramai yang risau kenderaan mereka rosak ditimpa hujan batu sebesar guli.
Hujan air batu bagaimanapun turut menarik perhatian ramai apabila ada yang mengutip serta mengambil gambar ketulan ais itu.
Seorang penduduk Ahmad Nazree Sahbudin, 35, berkata, kejadian tersebut berlaku dengan hujan secara tiba-tiba sebelum dikejutkan dengan iringan bunyi kuat apabila ketulan ais menimpa lebih 10 kereta yang diletakkan berhampiran.
Menurutnya, dia dan rakan-rakannya menjenguk ke luar dan mendapati hujan turun bersama ketulan kecil berwarna putih.
“Memandangkan ini kali pertama melihat hujan air batu, kami teruja untuk mengutip ketulan ais yang bertaburan di atas jalan dan membeleknya dari dekat.
“Kami nampak hujan air batu jatuh melantun-lantun di atas jalan dan sempat melihat fenomena ini selama kira-kira 15 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Seorang lagi penduduk, Mohd Hishamuddin Aduat, 24, berkata, hujan air batu itu dianggap luar biasa kerana berlaku secara menyeluruh di sekitar bandar berkenaan.
“Memang teruja dapat tengok hujan air batu pertama kali sepanjang umur saya. Ais yang jatuh berbentuk ketulan tetapi ia lembut daripada ketulan air batu biasa…jadi tiada kenderaan rosak disebabkan hujan ini.
Tidak sangka pula selepas dua minggu hujan tidak turun di Kuala Lipis tiba-tiba jadi hujan air batu pula hari ini,” katanya.
Fenomena hujan batu terhasil apabila ketulan ais terbentuk dalam awan ribut petir atau awan kumulonimbus, iaitu sumber utama pembentukan hujan ribut petir, disebabkan oleh arus perolakan yang kuat dalam awan berkenaan.
Hujan batu lazimnya berlaku ketika ribut petir kuat dalam ketinggian awan yang melepasi takat beku sehingga mencapai 12,192 meter manakala saiz hujan batu yang terhasil lazimnya adalah antara lima milimeter (mm) atau sebesar biji kacang sehingga 1.5cm iaitu sebesar sebiji guli.
Kejadian hujan batu ini biasanya berlaku setempat iaitu sekitar kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus. Tempoh kejadian juga agak singkat iaitu hanya lebih kurang 20 minit sahaja. –BERNAMA