JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyokong penuh keputusan Kerajaan Persekutuan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata keputusan Kerajaan Persekutuan membatalkan projek itu amatlah tepat dan bersesuaian dengan pendekatan Pakatan Harapan untuk tidak mahu membebankan negara dengan projek mega yang menambah hutang.
Beliau berkata fokus Kerajaan Persekutuan pada masa ini ialah mengurangkan hutang.
Katanya, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohamed Khaled Nordin bahawa projek HSR yang menelan belanja RM110 bilion sebagai ‘game changer’ bagi pembangunan di wilayah Selatan Johor, tidak dapat diterima dalam situasi ekonomi ketika ini.
“Jika dilaksanakan ia hanya akan siap dan mula beroperasi menjelang 31 Disember 2026, iaitu kira-kira 9 tahun dari sekarang, memakan masa terlalu lama untuk mendapat pulangan apatah lagi menjana keuntungan.
“Ini belum lagi mengambil kira kos lain termasuk kos penyelenggaraan dan pelaburan ke atas projek mencecah RM110 bilion yang sangat tinggi sedangkan pulangannya rendah.
“Kerajaan Johor sentiasa komited dengan janji untuk membawa pembangunan ke Johor tengah dan utara menerusi rangkaian penyambungan pengangkutan lebih murah, moden dan mengambil kira keberkesanan kos,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Osman berkata, apa yang paling penting ialah perkhidmatan ditawarkan kerajaan negeri dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat dan projek dilaksanakan itu tidak membebankan kewangan negara.
“Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini jelas gagal membangunkan Johor secara seimbang dan menyeluruh, ada bahagian di negeri ini memperoleh nikmat pembangunan yang mewah’, manakala bahagian lain ketinggalan, diabaikan atau dianaktirikan seperti mana yang berlaku di bahagian Johor utara.
“Bahagian Johor selatan pula, sebagai contoh sentiasa terdedah dan menjadi mangsa kepada pembangunan berbentuk permainan’ spekulasi hartanah,” katanya.
Katanya, berbekalkan kepercayaan dan sokongan penuh rakyat Johor sebagaimana yang dizahirkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini, kerajaan Johor berhasrat membangunkan Johor secara menyeluruh dan tidak akan sesekali mengulangi kesilapan kerajaan sebelum ini yang kesan buruknya terpaksa ditanggung rakyat.
“Berhubung dengan penalti RM500 juta yang terpaksa dibayar Malaysia akibat pembatalan projek, adalah lebih baik kerajaan menanggung kerugian jangka pendek daripada terpaksa menanggung beban hutang sehingga RM100 bilion yang sudah tentu memberi kesan sangat buruk kepada negara dan rakyat.
“Bekas Menteri Besar Johor ada mengaitkan pembatalan projek ini dengan kegagalan saya dalam menjaga kepentingan Johor dan rakyatnya, sukalah saya menegaskan bahawa menjaga kepentingan rakyat Johor dan membela nasib rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai Menteri Besar yang baharu walaupun terpaksa mewarisi banyak kepincangan’ yang ditinggalkan pentadbiran sebelum ini,” katanya.