KUALA LUMPUR – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menuntut tanah rancangan seperti Felda dan peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang khusus untuk orang Melayu serta Bumiputera dibuka kepada kaum India.
Ketua Gerakan anti-Islam itu, P Uthayakumar menuntut kerajaan baharu Pakatan Harapan dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India, terutama yang berpendapatan rendah bagi memperbaiki taraf hidup.
Dia mendakwa, sepanjang lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara, kerajaan berkenaan gagal membangunkan kaum India.
“UMNO mengamalkan politik dan polisi perkauman selain orang Cina yang menguasai sektor swasta menyebabkan kaum India berpendapatan rendah tersisih daripada pembangunan ekonomi negara.
“Kami mahu bergerak ke hadapan dan membantu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatasi masalah kemiskinan dalam kaum India,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Uthayakumar berkata demikian ketika menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd Yusof di Menara Ilham, di sini.