KUALA LUMPUR: Berbeza dengan sambutan Ramadan tahun lalu, bulan puasa kali ini membuatkan Hanis Zalikha berasa agak sunyi apabila terpaksa ‘berpisah’ dengan suami, Hairul Azreen.
Kata pengacara dan pelakon itu, jadual padat suaminya di lokasi penggambaran filem aksi, Paskal, membuatkan mereka jarang berpeluang dapat bersahur atau berbuka bersama.
“Sebagai isteri, saya memberikan sokongan penuh kepada suami. Saya faham jadual kerjanya agak padat kali ini. Walaupun sedang berpuasa, dia tetap menunaikan tanggungjawab diletakkan ke bahunya.
“Cuma, saya memang terasa lain sedikit apabila berjauhan dengannya. Malah, pada awal puasa juga saya hanya berbuka dengan keluarga kerana Hairul sibuk di lokasi penggambaran.
“Alhamdulillah, kami sempat menjalani ibadat puasa bersama-sama sebelum Hairul terbang ke Turki bagi menyelesaikan beberapa babak akhir Paskal di sana,” kata ibu kepada seorang cahaya mata, Yusuf Iskandar, 2.
Sempat berseloroh tatkala ditanya mengenai cabaran terbesarnya pada Ramadan kali ini, Hanis atau mesra disapa Keknis berkata, dia berdepan ‘dugaan baharu’ apabila perlu memasak pada waktu tengah hari.
“Sebenarnya, Ramadan kali ini agak mencabar sebab tahun lalu Yusuf masih menyusu. Namun, bulan puasa tahun ini dia sudah mula makan. Tentu saja pada tengah hari saya kena masuk dapur bagi menyediakan makanan untuknya. Memang mencabar,” katanya sambil tertawa.
Terbaru, si kecil yang mempunyai 2.3 juta pengikut di Instagram itu sekali lagi dipilih sebagai wajah kempen Jakel Barulah Raya bagi tahun kedua, bersama-sama ibu dan bapanya.