Gelagat anak sulung lelaki pelakon Yana Samsudin, Aisy Mateen, 2, yang tersalah mengecam wajah ibunya telah menarik perhatian ramai apabila video tersebut dikongsikan Yana di laman Instagramnya.
Menerusi video berdurasi 1 minit yang kini telah ditonton lebih 300 ribu orang itu menyaksikan Mateen yang selesa dalam dukungan Mira Filzah sebelum ditegur Yana sambil menghalakan rakaman video ke arah anaknya itu.
Mateen yang menyedari dia berada bersama ‘orang yang salah’ pantas menarik dan memeluk Yana sambil tersipu malu. Tidak sekadar itu, si comel itu turut mencium pipi Yana seolah-olah memohon maaf daripada ibunya.
“Mane satu mommy awak ni sebenarnya @aisymateen?” tulis Yana pada kapsyen video yang dimuat naik itu seperti yang dilaporkan Sinar Harian online.
Menurut yana kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya bersama Mira Filzah.
“Dia selalu salah kalau dengan Mira,” kata Yana sambil ketawa.
Perkongsian tersebut mencuit hati ramai pengikut Yana di Instagaram yang rata-ratanya meluahkan rasa terhibur mereka dengan aksi comel Mateen.
Tidak ketinggalan yang bergurau meninggalkan komen ‘nakal’ kepada Yana.
“Anak salah takpe, jangan papa dia yang salah sudah,” tulis seorang pengikut berseloroh.