Sekarang ini bukan mudah nak cari pekerjaan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang yang tak menentu. Bukan itu sahaja, banyak syarikat besar bertindak membuang pekerja kerana masalah kewangan.
Tidak hairan semakin ramai graduan universiti kini menganggur kerana kesukaran untuk mendapatkan kerja. Tidak kurang juga ada dikalangan mereka ini terlalu memilih.
Berbeza dengan seorang gadis ini yang nekad memilih untuk menjadi tukang cuci rumah selepas beberapa bulan gagal mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusannya.
Siti Nursyazalina Zailani, 26, graduan kejuruteraan bahan itu tidak malu untuk menjadi tukang cuci rumah memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Saya tertarik dengan kerja ini kerana waktu kerjanya yang fleksibel dan kalau rajin, kita boleh dapat kira-kira dua ribu ringgit (RM2,000) lebih sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nursyazalina bekerja sebagai tukang cuci rumah dengan sebuah agensi perkhidmatan membersih kediaman yang beroperasi menggunakan aplikasi, Maideasy selama hampir setahun.
Pada awalnya dia hanya melakukan pekerjaan itu secara sambilan, namun selepas beberapa bulan memohon kerja di sana-sini dan beberapa kali hadir temuduga tetapi tidak juga ditawarkan kerja, dia tidak ada pilihan lain.
“Saya tak ada masa untuk memilih kerja sebab saya datang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk cari kerja dan membantu ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Laporan oleh Menteri Pengajian Tinggi, seramai 54,867 atau 23.9% daripada 228,568 graduan lepasan universiti di seluruh negara pada 2015 tidak memperoleh pekerjaan selepas tiga bulan majlis konvokesyen mereka.