Tiada empayar agung yang kekal, kata bekas menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Salleh Keruak melalui tulisan di blognya.
“Greece, Portugal, Sepanyol, Rome yang dulu adalah empayar agung hari ini tersisa di ambang keruntuhan.
“Satu hal yang pasti, kesemua empayar yang jatuh itu tidak akan pernah kembali menjadi empayar agung lagi. Sekali ia hilang, ia akan hilang selama-lamanya,” kata Salleh.
Menurutnya, perubahan adalah sesuatu yang akan sentiasa terjadi dalam hidup dan menolak perubahan sama seperti menolak air pasang.
“Dan kita perlu berikan masa sama ada perubahan itu bagus atau buruk. Sekiranya ia buruk, ejen perubahan akan membawa perubahan lain.
“Tapi perubahan itu tidak akan kembali kepada apa yang pernah kembali seperti sebelumnya kerana ia tidak lagi wujud.
“Itu adalah kelemahan sesuatu perubahan,” katanya.
Salleh merupakan antara menteri BN yang ‘hanyut’ di dalam arus perubahan apabila rakyat Sabah mengundi untuk pertukaran kerajaan buat kali keempat sejak negeri itu merdeka.
Beliau merupakan calon BN bagi parlimen Kota Belud dan kalah kepada Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (WARISAN) Isnaraissah Munirah Majlis @ Fakharudy.