SHAH ALAM: Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu sudah dirangka semalam dan akan diserahkan kepada pihak PPAS esok.
“(Letak jawatan) Tiada masalah. Perkara ini bukan satu isu kerana saya tidak menerima sebarang elaun bulanan.
“Jawatan itu bukan seperti GLC (syarikat berkaitan kerajaan negeri) yang menerima elaun bulanan macam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Saya diarahkan parti untuk menjadi calon dan sedar perlu melepaskan jawatan itu selepas dicalonkan,” katanya selepas program Ziarah Kasih di Pangsapuri Seri Melewar, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata Ahli Jawatankuasa PAS itu wajar meletakkan jawatan terbabit ekoran PPAS berada bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Perkara sama turut dibangkitkan Penolong Setiausaha, Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman yang menempelak Dr Halimah dengan mendakwa beliau tidak berintegriti apabila kekal dengan jawatan terbabit.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu berkata, walaupun tidak menerima elaun, tetapi kerana minat mendalam berkaitan bidang bacaan, beliau terdorong untuk kekal berkhidmat di PPAS.
Katanya, beliau juga pernah memberikan sumbangan yang membanggakan selepas penganjuran Pesta Buku Selangor di PPAS mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai ‘The Largest Outdoor Reading Event’ yang berjaya mengumpul 15,271 peserta.
“Saya juga pernah dilantik sebagai Pengerusi PPAS dan memberikan idea saya sendiri untuk memajukan PPAS,” katanya.