SUAMI pelakon Izreen Azminda iaitu Ude Wahid menegur bekas isterinya iaitu Intan Liana Saleh yang memuat naik status mengaitkan anak mereka di media sosial.
Ude atau nama sebenarnya Muhamad Radzi Abdul Wahid, 30, berkata, posting berbaur simpati itu hanya akan menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap dirinya.
“Motif? Rasanya sudah boleh hentikan permainan ini. Tak habis-habis ke post benda poyo. Nak minta ‘makcik bawang’ buat dosa banyak-banyak.
“Nanti adalah yang suci tiada dosa mesej peribadi dengan cacian makian. Segala bagai, kerana apa ? Kerana post yang mengundang tak berkesudahan ni. Hentikanlah!” tulisnya di Instagram pada Jumaat.
Ude berkata, dia terpaksa menegur di laman sosial berikutan bekas isterinya itu masih melakukan perkara sama biarpun sudah beberapa kali tegur secara baik.
Katanya, teguran secara terbuka itu mungkin membuat Intan lebih faham dan untuk kebaikan semua pihak.
“Makin diam makin menjadi-jadi pula, saya tak suka tegur di IG ni. Tapi sudah banyak kali tegur di belakang tak faham bahasa.
“Mungkin cara ini boleh buat awak faham dan kebaikan semua pihak,” katanya.
Pemuzik bebas itu turut meminta masyarakat berhenti mencaci sehingga mencabar kesabaran dirinya.
“Cukup-cukuplah bulan baik ni tak payah nak maki-maki mencabar kesabaran orang. Banyak kerja lebih baik korang boleh buat,” katanya.
Bagaimanapun, status tersebut sudah dipadamkan selepas hampir sejam dimuat naik.
Ude dan Intan berkahwin pada 1 Mac 2013 dan bercerai talak satu pada 22 Mac lalu.
Mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri berusia setahun.
Pada November lalu, pelakon Izreen Azminda mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.