KUALA LUMPUR: Kurang sebulan untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, harga bekalan daging dijangka naik ekoran item tersebut bukan dalam kategori barangan kawalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata harga daging bergantung kepada penawaran dan tawaran.
“Oleh sebab itu, jangkaan harga bekalan itu akan naik menjelang hari raya korban disebabkan permintaan yang tinggi.
“Kita (kerajaan) hanya boleh berikan cadangkan agar rakyat menggunakan haknya sebagai pengguna dan membuat pembelian pada harga yang munasabah dan tidak membebankan.
“Manakala peniaga pula, kementerian suka menasihati agar berusaha mengamalkan etika peniaga yang baik dan selebihnya itu berasaskan kepada amalan pasaran ekonomi terbuka dan ekonomi bebas,” katanya semasa sidang media Ekspo Peruncitan dan Francais Tempatan dan Antarabangsa 2018 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan tidak mampu mengawal harga daging kerana negara tak berupaya mengeluarkan bekalan makanan yang mencukupi.
“Dahulu pernah ada usaha ternakan lembu untuk bekalan daging tempatan seperti National Feedlot Corporation (NFC) tetapi gagal.
“Atas sebab itu kita bergantung kepada daging import berbanding daging eksport sebagai bekalan kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap negara dapat mengusahakan keperluan bekalan daging yang mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.