Susulan kejadian sebuah bas RapidKL melanggar 7 buah kenderaan sehingga menyebabkan empat orang cedera dalam kejadian jam 8 malam tadi di Jalan Ampang, beberapa saksi kejadian tampil menceritakan kejadian sebenar dan menafikan beberapa dakwaan yang tidak berasas.
Menurut seorang penumpang bas, Hesty Natalia, dia dan beberapa penumpang lain diminta turun dari bas selepas pemandu bas itu terlanggar sebuah kereta Proton Saga.
“Dia memang main cucuk-cucuk kereta lain dari selepas Ampang Point sampailah ke AU2 itu. Saya nampak ada kereta Proton Saga berwarna hitam di depan yang dia cucuk itu tetapi tidak menyangka dia akan melanggarnya.
“Saya nampak kereta itu berpusing-pusing dan terkena gerai burger. Apabila semua turun, nampak abang baju merah naik. Kemudian yang lain naik motosikal dan kejar,” katanya.
Seorang lagi saksi, Muhamad Firduas, pula berkata, pemandu bas terbabit sebenarnya terbabas kerana mahu mengelak motosikal remaja yang melepak di gerai burger tersebut.
“Belum sempat slow talk, satu flat turun dengan kayu dan samurai. Kasihan pemandu bas itu dipersalahkan dengan hanya mendengar sebelah pihak.
Menurut Muhamad Firduas lagi, pemandu bas itu kini berada dalam keadaan kritikal selepas dibelasah oleh orang awam.
“Dia kini dalam zon merah, zon kritikal. Anaknya masih kecil lagi. Akibat manusia buat undang-undang sendiri, hanya kerana terlanggar gerai burger, dikejar beramai-ramai dengan kayu dan samurai. Siapa yang tak lari kalau dah satu flat kejar?” katanya yang menafikan dakwaan kononnya wanita dan bayinya berusia dua bulan terpelanting akibat kemalangan itu.