JOHOR BAHRU – Speaker Dun Johor, Suhaizan Kayat menyokong cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan BR1M sebelum dimansuhkan secara beransur-ansur.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amana Negara (PAN) Johor berkata, rakyat juga tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan pada setiap masa kerana apa yang perlu dilakukan adalah memberi peluang kepada rakyat untuk berdikari dan meningkatkan pendapatan.
“Mana-mana negara maju di dunia ini mesti kurang bergantung kepada bantuan kerajaan seperti BR1M dan kita mahu rakyat bersedia untuk berada di sebuah negara yang maju selain kita mahu rakyat membina kekuatan mereka sendiri.
“Kita kena berdikari sebab di negara ini semuanya ada dan mungkin sebelum ini rasuah dan salah guna kuasa terlalu banyak, namun saya percaya kerajaan akan baiki sistem yang bermasalah ini untuk beri rakyat peluang lebih baik,” katanya.