Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata BN angkuh ketika menganggap rakyat Malaysia akan selama-lamanya rasa terhutang budi kepada parti itu dan akan terus memberikan mandat memerintah.
Menurut bekas menteri itu, BN menyangka rakyat Malaysia masih ingat bahawa dasar BN yang memacu ekonomi negara daripada RM4 bilion kepada RM1.3 trilion.
Namun, kata Johari, rakyat berubah dan situasi semasa negara pada hari mengundi 9 Mei tidak semestinya sama dengan situasi negara pada satu ketika dulu.
Justeru, tambah bekas anggota parlimen Titiwangsa itu, strategi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan tanggapan di kalangan pengundi berhubung isu rasuah dan ketelusan untuk mengalahkan BN berhasil.
Johari yang dipetik Malaysian Insight itu juga menyorot bahawa pengundi juga bertumpu pada isu kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan GST yang dibangkitkan pemimpin PH.
“Dia (Dr Mahathir) bangkitkan isu yang menyentuh integriti BN dan isu itu mendapat sambutan anak muda,” katanya dipetik sebagai berkata.
Johari kalah di parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum (PRU) lalu dengan 4,139 undi kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Rina Harun.
Titiwangsa merupakan parlimen majoriti Melayu dengan 72 peratus Melayu, 17 peratus Cina dan sembilan peratus India dengan jumlah keseluruhan pengundi 61,598.
Johari turut berkata dia mempertimbangkan untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pilihan raya parti akan datang.
“Saya akan pertahankan jawatan ketua bahagian Umno Titiwangsa dan mempertimbangkan untuk menandingi salahs atu jawatan naib presiden,” katanya.
Dengan itu, jelasnya, akan memberi dia ruang untuk memulihkan Umno.