PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan individu yang melakukan rasuah mesti dihukum namun di Malaysia masanya masih belum sesuai untuk memenjarakan pesalah rasuah dengan hukuman penjara seumur hidup.

“Mereka mungkin di penjara, berapa lama mereka dipenjarakan bergantung pada tahap kesalahan rasuah, dan saya fikir tahap rasuah yang berbeza memerlukan hukuman yang berbeza. Tetapi kami belum mencapai tahap bagi hukuman penjara seumur hidup,” kata beliau.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada beliau menyokong hukuman mati bagi pemimpin yang melakukan rasuah selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Cabaran Tadbir Urus Yang Baik Dalam Negara Islam’ semalam di Pusat Pengajian Islam Oxford di Universiti Oxford.

Individu yang didapati bersalah melakukan rasuah oleh mahkamah di Malaysia akan dihukum penjara, kata beliau, dan menambah bahawa hukuman menembak mati pesalah rasuah seperti amalan di sesetengah negara tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Dalam syarahannya yang menyentuh mengenai negara Islam dan sistem demokrasi, beliau berkata, negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi perlu lebih banyak masa untuk memahami pelaksanaan demokrasi.

“Sekiranya anda tidak memahami bahawa dalam demokrasi undi paling berkuasa, jadi anda tidak perlu mengamalkan sistem demokrasi,” katanya, sambil menambah di beberapa negara Islam, mereka lebih selesa dengan sistem monarki.

Kata beliau, di sesetengah negara Islam, peralihan kepada sistem demokrasi sudah membawa bencana terhadap negara-negara berkenaan.

“Setiap kali mereka cuba laksanakan sistem demokrasi, akan ada pertempuran antara mereka dan negara itu hampir musnah,” katanya.

Dalam sistem demokrasi, beliau berkata, rakyat memilih kerajaan dan menyokong kerajaan untuk tempoh masa tertentu.

Bagaimanapun, di beberapa negara Islam, mereka tidak sanggup menunggu sehingga tamat tempoh tersebut dan mahu perubahan segera selepas pilihan raya, kata beliau.

“(Ia) masa untuk mereka menghormati undi dan menubuhkan kerajaan yang menggunakan kuasa untuk kebaikan negara dan rakyat,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi, walaupun 60 peratus daripada penduduknya adalah beragama Islam dan rakyatnya taat kepada raja.

“Sistem ini dianggap berjaya kerana rakyat Malaysia mempunyai raja dan mereka juga mengamalkan sistem demokrasi.

“Kami tidak suka keganasan. Kami tidak menggulingkan kerajaan sehingga kerajaan itu bertukar dengan sendirinya,” katanya dan disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Pada lawatan sulungnya ke Pusat Pengajian Islam Oxford pada 1996, Dr Mahathir pernah menyampaikan ceramahnya yang terkenal bertajuk ‘Islam Agama yang Diselewengkan’.

Sejak penubuhannya pada tahun 1985, pusat itu telah menampilkan ramai tokoh terkemuka untuk bercakap mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan dunia Islam.

Di dalam premisnya yang baru, pusat berkenaan mempunyai beberapa ruang kuliah yang khusus termasuk Auditorium Malaysia bagi perkembangan programnya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.