Berdepan dengan kemelut rumah tangga yang akhirnya membawa kepada jalan perpisahan. Biarpun berlaku di bulan penuh keberkatan ini, namun bagi pelakon Bella Dally menganggap itu semua adalah takdir Illahi.
Bercerita sisi lain, pelakon cantik manis ini turut berkongsi pengalamannya menempuh malam Lailatulqadar. Ternyata dia antara insan yang beruntung kerana pernah menyaksikan sendiri keindahan malam yang dinantikan oleh semua umat Islam.
Menurut Bella, pengalaman itu dirasai ketika dia masih kecil dan masih di bangku sekolah.
“Inilah nostalgia Ramadan yang tidak pernah saya lupa. Ada satu masa itu ketika masih kecil, seingat saya masa sekolah rendah. Masa itu subuh baru lepas sahur. Suasana ketika itu sangat sunyi dan tenang sekali.
“Apabila keluar rumah saya nampak bintang banyak sekali bertaburan di kanvas langit. Sangat indah dan perasaan itu sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Pada fikiran saya mungkin malam tersebut adalah malam Lailatulqadar. Dan saya berharap sangat dapat berjumpa lagi dengan malam seperti itu,” ujarnya.
Bercerita mengenai aktiviti seni sepanjang bulan puasa, Bella berkata, dia mahu lebih fokus meraih keberkatan Ramadan pada tahun ini.
“Saya suka make myself busy agar tidak terasa masa yang berlalu. Kalau ada shooting masa puasa, saya rasa hari berlalu dengan cepat. Sedar-sedar dah tiba waktu berbuka.
“Sebenarnya saya akui jarang memasak ketika berbuka kerana tuntutan kerja dan masa yang tidak mengizinkan. Paling suka beli juadah di Bazar Ramadan terutamanya di TTDI Kuala Lumpur. Juadah favorite saya sudah tentunya nasi beriani. Beratur panjang pun tak mengapa,” tambahnya yang akan balik seminggu awal sebelum raya untuk berpuasa bersama keluarga di Sabah.
Walaupun akan merayakan Syawal tanpa kehadiran suami di sisi, namun Bella tetap positif. Baginya perpisahan jalan terbaik setelah kedua-duanya duduk berbincang dan mencari jalan terbaik kepada hubungan mereka.