BAYI lelaki berusia lapan bulan maut, manakala dua kakak dan abangnya parah selepas leher mereka dikelar dengan pisau oleh ibu kandung di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, dekat Kota Belud, hari ini.

Jerry Yohanes meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua kakaknya Nurul Hanisa, 8, Melati, 7, dan abangnya Jehan, 5, parah dileher kini menerima rawatan di Hospital Kota Belud.

Suspek berusia 30 tahun yang juga ibu kandung mangsa kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri, namun berjaya dihalang oleh suaminya.

Menurut sumber, suami kepada suspek dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 yang sedang membuat rondaan berhampiran sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, jam 1.40 tengah hari.

“Lelaki itu dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan dan mengatakan bahawa empat anaknya parah dikelar di kuarters mereka.

“Susulan maklumat itu, sepasukan PGA Batalion 16 bergegas ke tempat kejadian bersama lelaki berkenaan. Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati empat kanak-kanak termasuk bayi terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Namun bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai sudah tidak bernyawa dengan kesan kelar dilehernya. Tiga lagi kanak-kanak parah dan turut terdapat kesan kelar di leher,” katanya, hari ini.

Sumber berkata, ibu kepada mangsa turut ditemui parah di leher dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya.

“Semua kanak-kanak yang parah dan ibu mereka dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan bot.

“Tiga kanak-kanak yang parah dan ibu mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Difahamkan, suspek wanita itu mengalami kemurungan sebelum bertindak mengelar empat anaknya menggunakan pisau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.