KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memulangkan baki kredit yang belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kepada pembayar cukai hanya apabila kerajaan mempunyai wang.
Dr. Mahathir berkata, baki kredit yang masih belum dibayar itu telah dimasukkan ke dalam akaun wang disatukan namun wang tersebut telah hilang kerana telah dibelanjakan.
“Kita (kerajaan PH) akan bayar balik semula wang yang terhutang itu tetapi ia akan dilakukan bila kita akan wang.
“Kalau kita bayar semua wang ini, kita tidak ada wang langsung,” katanya dipetik menerusi wawancara bersama portal The Malaysian Insight.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan, baki kredit yang belum dibayar balik oleh LHDN adalah berjumlah RM16.046 bilion iaitu membabitkan sebanyak 1,653,786 kes melibatkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan.
Guan Eng berkata, baki tunggakan yang amat besar itu disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC). – UTUSAN ONLINE