Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertikai kecenderungan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali kepada syarikat pakaian dalam dan coli yang rugi sebaliknya mengabaikan perolehan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebanyak RM6 bilion.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Khazanah membuat pelbagai pelaburan di seluruh dunia.
Hasilnya kata Najib Khazanah memperoleh berbilion-bilion ringgit termasuk RM6 bilion hasil perolehan daripada syarikat Alibaba.
Katanya turut mendatangkan keuntungan ialah hasil pelaburan Khazanah di syarikat IHH Healthcare.
“Bagaimana pula dengan kerugian berbilion ringgit dalam pelbagai pelaburan seperti Silterra atau MAS (Malaysia Airlines) ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat?” katanya dalam satu kenyataan umum hari ini.
Najib yang turut bertanggungjawab sebagai menteri kewangan membuat kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada pendedahan Azmin di Dewan Rakyat semalam.
Sebelum itu Najib mencelah ucapan penggulungan Azmin dengan menyoal dakwaan Dr Mahathir bahawa Khazanah telah menyimpang daripada terasnya.
Rakyat dapat manfaat
Menjawab soalan itu, Azmin merujuk kepada pelaburan Khazanah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebagai contoh, Khazanah telah melabur sebanyak hampir AS$20 juta melalui sebuah syarikat online retalier (peruncitan dalam talian) yang menjual pakaian dalam, baju dalam, bra (coli)… akhirnya pelaburan ini terpaksa di-write-off atau dihapus kira.
“Ini yang paling kecil yang berlaku,” katanya.
Contoh lebih serius, kata Azmin apabila Khazanah terpaksa melupus kira-kira RM3 bilion pelaburannya.
Kata Najib apa yang dimaksudkan Azmin itu merujuk kepada pelaburan Khazanah dalam syarikat perniagaan dalam talian, Zivame, pada 2015.
“Pelaburan itu – bersama beberapa pelaburan kecil lain dalam 27 syarikat berkaitan teknologi di merata dunia – dilakukan menggunakan dana keuntungan sekitar RM6 bilion yang diraih Khazanah hasil pelaburan dalam Alibaba pada 2014,” katanya.
Sebagai syarikat pelaburan strategik, kata Najib, objektif Khazanah ialah menjana pendapatan selain membuat pelaburan bagi mewujudkan hubungan atau kaitan secara menyeluruh di serata dunia yang akan memanfaatkan negara.
Hal itu, katanya termasuk menceburi perniagaan pakaian, sama ada pakaian dalam atau pakaian luar.
Malah katanya Malaysia juga memiliki beberapa jenama yang boleh menerima manfaat dengan akses ke pasaran besar India.
“Pelaburan luar negara Khazanah akan membantu Malaysia sebagai pemain global dan bukan sekadar jaguh kampung bagi memberi faedah kepada semua rakyat Malaysia.
“Langkah seumpama ini turut dilakukan syarikat pelaburan strategik Singapura, sebagai antara contoh terdekat,” katanya.
Menurut Najib ketika ini pelaburan dalam syarikat dalam talian di India itu masih beroperasi dan menjadi peneraju pasaran bagi segmen berkenaan di India serta sedang memperkembangkan perniagaan mereka.
Katanya ‘kerugian’ Khazanah dalam pelaburan itu belum boleh dipastikan lagi kerana perniagaan dalam talian biasanya akan mengalami kerugian pada peringkat permulaan dan ada kemungkinan ia akan meraih perolehan lebih besar pada masa depan.
“Menjana keuntungan daripada pelbagai pelaburan lain seluruh dunia membolehkan Khazanah memiliki dana untuk membuat pelaburan strategik ke dalam pelaburan yang rugi seperti Silterra dan MAS – yang kehilangan RM10 bilion selepas Dr Mahathir secara kontroversi membeli syarikat berkenaan daripada jutawan pada harga berbilion lebih tinggi dari harga pasaran pada masa lalu,” katanya.
Najib juga berkata sesuatu pelaburan berdepan dengan risiko kerugian.
“Kecuali Azmin mampu memberi jaminan bahawa pelaburan akan datang Khazanah tidak akan kerugian langsung, sampai bila-bila,” katanya.