PULAU PINANG – Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun awal pagi ini susulan penemuan mayat ibunya dalam tangki najis di belakang rumah mereka di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, suspek ditahan di Jalan Air Putih di sini kira-kira pukul 8.45 pagi iaitu tidak sampai 24 jam selepas mayat wanita warga emas itu ditemukan.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah membunuh ibunya susulan satu pertengkaran.
“Dalam pertengkaran yang berlaku di ruang dapur rumah mereka itu, suspek juga mengaku telah menikam leher mangsa menggunakan pisau sebelum mengelarnya,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, mangsa, Faridah Hashim, 63, dilaporkan hilang sejak 19 September lalu sebelum satu laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.40 petang semalam, mayatnya dijumpai oleh seorang lelaki yang dipercayai menantunya dalam tangki najis berkenaan dalam keadaan menyayat hati.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Anbalagan berkata, suspek yang mengalami masalah ketagihan bau petrol itu kemudian cuba menyorokkan mayat ibu dalam tangki najis terbabit selepas menyedari wanita tersebut tidak lagi bernyawa.
“Suspek juga mengaku bahawa dia melakukan pembunuhan seorang diri tanpa bantuan sesiapa,” katanya.
Tambah Anbalagan, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan perintah direman dijangka dikeluarkan terhadap suspek di Mahkamah Balik Pulau, esok. – UTUSAN ONLINE