KOTA BHARU – Ahli-ahli Pas di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diarahkan membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya turut meminta ahli parti itu yang bakal memilih wakil rakyat kawasan tersebut supaya mengambil kira sikap Pas terhadap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang kekal sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, Pas juga berpandangan suatu amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuklah Kerajaan Selangor, dengan kata lain peranan Pembangkang adalah amat penting.

“Pas mengambil keputusan tidak meletakkan Calon dalam PRK DUN Sungai Kandis kerana ingin mengkaji terlebih dahulu Hasil Dapatan Jawatankuasa ‘Post-Mortem’ PRU-14 Pas Pusat yang sedang disiapkan ekoran tahap keputusan dalam PRU yang lalu, khususnya di Negeri Selangor.

“Keputusan ini turut terpakai dalam PRK DUN Balakong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, Pas juga tidak menurunkan jenteranya dalam PRK Sungai Kandis namun seluruh jenteranya akan terus bergerak sebagaimana biasa dalam mengukuhkan parti pasca PRU14 bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.