SHAH ALAM – Seorang pengetua Maahad Tahfiz, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, dipilih sebagai calon PKR untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 4 Ogos ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK tersebut di Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun, di sini malam tadi.

Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan pengetua Tahfiz Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu, yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat, diharap akan dapat mengekalkan kemenangan PKR di DUN itu.

“Saya tahu ramai rasa mereka layak dan boleh menang tetapi satu sahaja yang kita dapat letak sebagai calon PKR…kita nak kekalkan kemenangan PKR di DUN Sungai Kandis.

“Oleh itu saya mohon kita bekerjasama, tidak kira dipilih atau tidak (sebagai calon) bekerjalah untuk pastikan kemenangan PKR dan Pakatan Harapan demi memperkukuh Selangor,” katanya.

Seramai 51,217 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Shuhaimi, yang mewakili PKR, mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi untuk mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.