MForce Bike Holdings Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi motosikal jenama SYM di Malaysia hari ini melancarkan sebuah model yang mereka panggil sebagai “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, bernama SYM VF3i. Malaysia juga menjadi pasaran pertama di dunia yang menerima model ini.

Sementara pasaran Malaysia ‘panas’ dengan kapcai berkapasiti 150 cc seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i, SYM pula cuba memberi cabaran yang lebih dengan menawarkan SYM VF3i yang menggunakan enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair SOHC berkapasiti 183 cc.

Bersama padanan transmisi enam kelajuan, enjin suntikan bahan api ini mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 8,500 rpm, 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm dan turut menerima penarafan emisi Euro 3. Palam pencucuh yang digunakan pula masih lagi hanya satu. Laju maksimum yang boleh dicapai adalah 155 km/j (mengikut meter).

Melihat kepada bentuk luar motosikal ini, ia menggunakan unit LED bagi lampu siang (DRL), lampu penunjuk arah serta lampu belakang. Warna yang ditawarkan pula ada tiga, iaitu biru dan merah untuk model standard yang dijual pada harga RM8,467.28 dan warna hitam matte, iaitu model SE pada harga RM8,785.28 (termasuk GST, tanpa insurans).

Kelengkapan lain yang terdapat pada SYM VF3i ini adalah termasuk fork teleskopik, brek cakera 250 mm dengan angkup dua piston serta tayar 90/80R17 di hadapan, dan monoshock, brek cakera 200 mm dengan angkup dua piston di belakang, serta tayar 120/70R17 di belakang.

Berat keseluruhan motosikal ini adalah 124 kg, dan ia menyediakan tangki bahan api tujuh liter. Menurut SYM, melalui ujian mereka, dengan isian bahan api penuh motosikal ini dapat pergi dari Alma, Bukit Mertajam ke Kuala Perlis. Jika menurut Google Map, jarak antara dua tempat ini adalah 171 km.

SYM VF3i akan tiba di wakil pengedar motosikal SYM menjelang bulan Mei ini, dan ia datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.