SEJAK semalam, heboh mengenai taktik penipuan seorang individu untuk memenangi medal bagi acara Standard Chartered Marathon 2018 yang berlangsung Ahad lalu.
Sebagai salah seorang peserta acara larian tahunan itu, Rashidi Ishak turut berasa kesal dengan sikap tidak jujur sesetengah pihak dalam mendapatkan apa yang dimahukan.
Pelakon dan pemain gitar berusia 45 tahun itu bersama isterinya, Vanida Imran, berjaya menamatkan larian marathon dalam masa tujuh jam satu minit.
“Saya tak faham kenapa ada yang menipu lari di garisan penamat tetapi tak lari sepenuhnya dengan catatan masa yang gempak. Kenapa ye?
“Sama jugak semasa saya menduduki exam ijazah dan sekolah, ada di kalangan rakan saya yang menipu di dalam exam. Kenapa ye?” ujarnya di Instagram.
Rashidi berkata, sebelum menyertai acara sebegini, sama seperti kebanyakan pelari lain, mereka juga melakukan latihan berbulan-bulan sebagai persiapan menyertai acara tersebut.
Bahkan, adalah lebih mulia sekiranya sesuatu perkara itu dilakukan secara jujur berbanding menipu orang lain untuk kepentingan diri sendiri.
“Dapat medal tapi menipu, dapat A tapi menipu. Saya lagi hormat mereka yang gigih berlari, berpeluh, cramp muscle tapi tak berjaya habiskan larian.
“Mereka ini lebih mulia dari kau yang dapat medal menipu atau kau yang menerima ijazah dengan menipu. Kelakar lah bai. Dah tak boleh buat berhenti sahaja, cuba lagi tahun depan. Yang itu saya sangat respect,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menerusi entry berlainan, bapa kepada dua orang anak ini berjanji untuk memakai medal yang diterimanya selama 10 hari sempena ulang tahun kesepuluh Standard Chartered Marathon 2018.